Apa itu ismen? Ismen sebenarnya “ apa apa hak yag diberikan oleh tuanpunya tanah kepada seseorang yang lain yang berupa satu kenikmatan yang berfaedah dari tanahnya” ( kanun tanah negara 282(1))
Jadi bagi tujuan ini, ISMEN ini boleh dikategorikan sebagai salah satu hak untuk menghalang pihak lain dari menggunakan tanah tersebut bagi tujuan atau kegunaan tertentu.
Mungkin agak sukar untuk anda fahami keadaan ini bukan? Baiklah mari kita semak contoh situasi di bawah :
"Timah dan Ali hidup berjiran, Untuk masuk ke kawasan rumah Timah, Ali perlu melalui @ menggunakankan tanah atau jalan di depan rumah Timah..Oleh yang demikian, Ali telah memohon untuk membuat turapan tar di hadapan rumah Timah bagi tujuan pembinaan jalan..Namun demikian, Timah tidak setuju dengan cadangan dari Ali".
Jadi, apakah yang boleh kita lakukan jika kita hadapi isu yang sama?
Mungkin kita biasa terdengar atau pernah menghadapi situasi seperti Ali dan Timah kan? Jadi, apakah terdapat sebarang prosedur atau langkah cadangan bagi kedua - dua pihak agar perkara tersebut dapat diatasi.
Berikut merupakan pandangan daripada peguam kami, Ms Tengku Irene Syameira.
Perkara 13 Perlembagaan memberi jaminan kepada seseorang individu atas haknya terhadap hartanah milikannya. Manakala Seksyen 340 Kanun tanah negara menyatakan bahawa hak milik hartanah seseorang individu tidak boleh disangkal apabila sudah berdaftar bagi menjaga hak-hak individu sebagai pemilik.
Jika situasi seperti Ali dan Timah berlaku, amatlah wajar kedua-dua pihak yang terlibat membuat penyemakan terlebih dahulu berkenaan pemilikan tanah yang terlibat.
Penyemakan tanah (sama ada ia termasuk dalam kawasan tanah Tima atau tidak boleh dilakukan di pejabat Tanah atau Juruukur berlesen bagi mengesahkan keluasan tanah yang terlibat. Adalah dinasihatkan juga gar kedua-dua pihak sama ada tanah yang terlibat merupakan tanah yang digazetkan sebagai hakmilik kerajaan atau tidak.
Jadi, antara jalan penyelesaian yang boleh dilakukan oleh kedua-dua pihak adalah seperti di bawah :
Hak Ali
1. Sekiranya tanah tersebut tidak termasuk dalam kawasan tanah Timah dan tidak digazetkan sebagai hakmilik kerajaan, tetapi Timah masih enggan berkerjasama untuk memberi peluang kepada Ali untuk melalui tanah berhampiran kawasan tanahnya tersebut, Ali boleh melaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan atau Pejabat Polis atas alasan mengganggu ketenteraman awam penduduk.
2. Namun, sekiranya tanah yang terlibat tidak digazetkan sebagai hakmilik kerajaan dan memasuki tanah Timah, Ali boleh memohon kepada Pejabat Tanah untuk mendapatkan Hak Lalu Lalang atau dikenali sebagai Hak Ismen di bawah Seksyen 282 Kanun Tanah Negara.
3. Permohonan Ismen memerlukan Ali (pemilik tanah bersebelahan yang ingin menggunakan kawasan tuan tanah) untuk mengeluarkan sedikit perbelanjaan sama ada bulanan atau tahunan kepada Timah.
4. Jika Timah enggan bekerjasama, Ali boleh membuat permohonan Hak Lalu Lalang Pentadbir Tanah di bawah Seksyen 387 Kanun Tanah Negara di mana Timah akan dipanggil untuk berbincang bersama-sama dengan Pentadbir Tanah dan Ali demi kepentingan awam.
5. Apabila Perintah Hak Lalu Lalang Pentadbir Tanah dikeluarkan (setelah pertimbangan dibuat oleh Pentadbir Tanah), Timah tidak akan dibayar oleh Ali atau pun Kerajaan kerana Pentadbir Tanah telah pun membenarkan Ali menggunakan kawasan tanah Timah untuk tujuan awam.
Manakala bagi Timah, ini merupakan langkah cadangan yang boleh dilakukan oleh beliau.
1. Berdasarkan Perenggan 9 di atas, sekiranya Timah tidak berpuas hati dengan Perintah yang dikeluarkan oleh Pentadbir Tanah, Timah boleh mencabarnya di Mahkamah.
2. Jika Timah dapat membuktikan bahawa terdapat jalan lain yang boleh digunakan oleh Ali selain memasuki kawasan tanahnya, Timah boleh memfailkan satu Saman atau Permohonan kepada Mahkamah untuk suatu perintah menghentikan pencerobohan atas kesalahan Tort (Trespass to Land) oleh Ali dan seterusnya menuntut ganti rugi.
3. Sekiranya menggunakan perkhidmatan peguam akan mengeluarkan perbelanjaan yang banyak, Timah boleh membuat laporan polis terhadap pencerobohan yang dilakukan oleh Ali.
Diharapakan dengan perkongsian dapat memberi gambaran atau bantuan kepada anda yang menghadapi masalah yang sama seperti di atas. Kita jumpa lagi di lain masa.
Natasha & Co
Advocates & Solicitors I Peguambela & Peguamcara